Baca petikan di bawah. Buat satu rumusan tentang keburukan-keburukan merokok dan kekangan mengatasi masalah merokok dalam kalangan pelajar. panjang rumusan hendaklah tidak lebih daripada 120 patah perkataan.
Bagi sesetengah pihak, merokok umpama makanan harian yang tidak dapat dipisahkan. Ada juga dalam kalangan mereka yang mengaitkan perbuatan menghisap rokok sebagai status yang menunjukkan seseorang individu tersebut telah matang atau sebagai melambangkan imej yang bersifat kemegahan. Biar apapun pandangan dan pendapat daripada individu tersebut, seluruh makhluk yang mampu berfikir dengan waras tetap berpandangan bahawa perbuatan menghisap rokok adalah sesuatu yang perlu dielakkan kerana perbuatan ini merupakan satu pembaziran wang secara jelas, apatah lagi dengan kenaikan harga rokok yang melambung tinggi. Rokok yang dibakar adalah umpama membakar wang kertas yang sepatutnya dapat digunakan untuk tujuan lain yang lebih berfaedah.
Ramai sedia maklum bahawa menghisap rokok menjadi punca pada pelbagai penyakit yang digolongkan dalam kategori penyakit berbahaya. Antaranya, penghisap rokok terdedah pada penyakit kanser paru-paru dan penyakit jantung. Kedua-dua penyakit berbahaya ini telah diisytiharkan sebagai pembunuh nombor satu negara. Perokok bukan sahaja membahayakan diri mereka sendiri malah pada masa yang sama turut membahayakan kesihatan keluarga mereka dan orang lain di sekeliling mereka. Asap rokok yang dikeluarkan setelah dihisap adalah lebih berbahaya kepada orang lain dan kesannya adalah sama dengan siperokok.
Bau busuk yang dikeluarkan oleh penghisap rokok juga boleh mengganggu keselesaan orang lain sehingga dapat menjejaskan pergaulan siperokok dengan orang lain. Hal ini sudah pasti akan menimbulkan suasana yang kurang selesa malah menjejaskan komunikasi seseorang. Bayangkanlah jika anda terpaksa berhadapan dengan siperokok dalam suasana tempat menjamu selera tertutup dan berhawa dingin! Oleh itu, kerajaan telah menguatkuasakan undang-undang bagi melarang orang ramai menghisap rokok ditempat-tempat awam dan di premis-premis kerajaan.
Bagi siperokok, masalah yang timbul ialah mereka akan menghadapi gejala ketagihan yang bukan mudah untuk diatasi. Hanya dengan usaha dan azam yang kuat sahaja perlakuan ini mampu dibanteras tetapi menurut kajian yang dijalankan oleh FOMCA hanya 12 peratus sahaja daripada jumlah yang ingin berhenti merokok mampu berbuat demikian. Sementara itu, pihak Bomba dan Penyelamat Malaysia menganggarkan jumlah kebakaran yang disebabkan oleh api rokok di negara kita mencecah hampir 23 peratus daripada punca kebakaran yang berjaya diselesaikan. Hal ini berpunca daripada sikap perokok yang suka membuang puntung rokok di merata-rata tempat.
Natijahnya, merokok bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan. Bukan juga simbol yang menunjukkan kedewasaan tetapi sikap negatif yang menggambarkan ketidakwarasan seseorang individu. Justeru, katakan tak nak untuk sebatang rokok!
Baca petikan di bawah kemudian buat satu rumusan tentang gejala-gejala sosial dalam kalangan remaja dan langkah untuk mengatasinya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak lebih daripada 120 patah perkataan.
Pada abad ke-21, masalah yang kian meruncing dan sukar dibendung kewujudannya ialah masalah sosial dalam kalangan remaja. Hal ini kerap disuarakan oleh orang ramai malah turut disiarkan berulang kali di media-media masa tempatan. keadaan ini amat membimbangkan kita kerana golongan remaja merupakan pemimpin pelapis yang bakal mentadbir dan memimpin negara pada masa depan. Dalam laporan terbaru yang disiarkan di televisyen, gejala sosial paling membimbangkan dalam kalangan mereka ialah pertambahan jumlah remaja yang terjebak dalam najis dadah. Hal ini perlu ditekankan kerana Malaysia memandang bahawa dadah adalah musuh nombor satu negara pada masa ini.
Penglibatan remaja dalam kancah penyalahgunaan dadah ini kerap kali menimbulkan masalah berterusan. Kini, timbul pula golongan Mat Rempit dalam kalangan remaja yang tidak segan silu menunjukkan kehebatan bermotosikal tanpa mengikut undang-undang yang ditetapkan. persoalannya ialah mereka bukan sahaja membahayakan nyawa mereka sendiri tetapi turut membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Semasa isu mat Rempit ini sedang heboh diperkatakan, lahir pula gejala yang tidak sehat dalam kalangan remaja apabila sebahagian besar daripada mereka terlibat dengan jenayah ragut sehingga menyebabkan kematian. Hal ini bukan sahaja memeranjatkan kita tetapi kita dapat merasakan bahawa keruntuhan nilai moral serta nilai-nilai kemanusiaan yang dianggap murni semakin menipis dalam jiwa remaja kita.
Selain itu, mengikut laporan yang diberi oleh pihak polis, pada masa ini semakin ramai remaja khususnya remaja perempuan yang terlibat dengan masalah lari dari rumah ekoran berlaku masalah dalaman di antara keluarga mereka. Golongan ini mudah terdedah dengan gejala yang tidak sihat termasuklah melibatkan diri dalam sek bebas ataupun melacurkan diri demi mendapatkan kepuasan diri mahupun untuk mendapatkan wang bagi menyara kehidupan mereka setelah terpisah daripada keluarga. Kesannya bukan sahaja dirasai dalam jangka masa pendek tetapi lebih parah dalam jangka masa panjang.
Sementara itu, beberapa buah akhbar tempatan turut melaporkan bahawa ramai remaja terutamanya remaja di bawah umur gemar menghabiskan masa melepak di pusat-pusat membeli belah mahupun di kafe siber. Golongan remaja seperti ini akan lebih mudah melakukan kesalahan disiplin sekolah kerana terlibat dengan gejala ponteng sekolah dan ada pula yang terjebak dalam kegiatan gangsterisme. Justeru, tindakan seperti ini akan lebih menyukarkan hasrat kerajaan dalam usaha untuk melahirkan rakyat minda kelas pertama pada masa depan. Apatah lagi dengan sikap golongan remaja yang terlalu terikut-ikut dengan budaya barat yang dianggap tidak sopan dari pandangan masyarakat timur. Natijahnya, kita sedang berhadapan dengan satu masalah yang bukan sahaja perlu diatasi tetapi memerlukan kerjasama semua pihak bagi membawa remaja kita kembali semula ke pangkal jalan.
Baca petikan di bawah dan buat satu rumusan tentang kesan negatif penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar di sekolah dan langkah-langkah pencegahannya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak lebih 120 patah perkataan.
Pada masa ini, sebilangan murid sekolah pada hakikatnya telah pun mempunyai telefon bimbit sama ada dibeli oleh ibu bapa masing-masing atau dibeli dengan duit simpanan sendiri. Cuma penggunaannya terbatas di luar sekolah kerana mereka dilarang menggunakannya di kawasan sekolah. Memang tidak dinafikan telefon bimbit menjadi alat hubungan imbit yang penting namun kita perlu melihat kesan negatif kepada murid sekolah.
Kita semua sudah biasa melihat kesan buruk penggunaan telefon ini di kalangan orang dewasa. Misalnya, telefon bimbit digunakan untuk merakam gambar yang tidak senonoh. Mereka juga menggunakannya untuk menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) berantai. Di samping itu, pengguna juga melanggan pelbagai perkhidmatan yang tidak penting seperti yang diiklankan di media massa. Siapakah yang boleh memberi jaminan bahawa mereka tidak akan terlibat dalam perkara-perkara sedemikian?
Murid-murid juga dikhuatiri menyalahgunakan telefon bimbit semasa proses pengajaran dan pembelajaran diadakan. Antara lain, murid dikhuatiri menggunakan telefon bimbit untuk menipu dalam peperiksaan. Mereka juga mungkin leka menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan tidak dapat menumpukan perhatian kepada pengajaran. Selain itu, tidak mustahil jika terdapat murid yang memuat turun perkara-perkara yang tidak diingini semasa di dalam kelas.
Tidak keterlaluan jika kita mengandaikan bahawa akan timbul kesan psikologi terhadap murid sekolah yang kurang mampu. Maka akan wujudlah suatu trend dalam kalangan murid sekolah bahawa telefon bimbit ialah perkara penting pada zaman persekolahan. Oleh itu, mereka akan memaksa ibu bapa membelikan telefon itu untuk mereka.
Selain itu, pemilikan telefon bimbit dalam kalangan murid dikhuatiri menimbulkan suasana hubungan sosial yang tidak baik di dalam kawasan sekolah. Hal ini demikian kerana ada murid yang mula menjadikan telefon sebagai salah satu simbol status sosial. Jika satu ketika dahulu jenama kasut, beg atau kotak pensel pun boleh digunakan sebagai simbol status sosial di kalangan murid, maka telefon bimbit juga diramal akan turut menjadi alat untuk murid menunjuk-nunjuk.
Masalah penggunaan telefon bimbit di sekolah perlu diberikan perhatian. Dengan itu, langkah melarang penggunaan telefon bimbit di sekolah dianggap wajar. Larangan ini wajar diteruskan memandangkan penggunaan telefon bimbit lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan.
Kredit : Jurainihunsang.blogspot.com
No comments:
Post a Comment